Saudara Pengarang,
Saya sungguh tertarik dengan artikel bertajuk
Tragedi Sauk: Pemimpin Pas yang sebenarnya bersandiwara oleh Ucu Endot,
Kuala Lumpur, Pas guna Islam kaburi pengikut oleh Che Mohd., Jelebu,
Pas tenggelam dalam sandiwara oleh Ahmad Basri Akil (Mungkin Datuk) Alor
Setar.
Bagi saya kesemua artikel tersebut memberikan satu paparan yang boleh menyebabkan rakyat akan terus membuka mata.
Saya ingin menyambung sedikit lagi tulisan Ucu Endot mengenai beberapa lagi kebenaran yang terpampang di depan mata sebagai renungan. Setiausaha Agung Pas angkuh dan riak apabila mengatakan Datuk Dasuki Ahmad tidak pandai membaca doa adalah benar.
Setiausaha Agung Pas dalam ceramahnya di utara mengatakan bahawa Tan Sri Khalil Yaakob tidak tahu waktu sembahyang adalah benar. Beliau riak apabila cepat-cepat mengambil tempat sebagai imam kerana tidak mahu berimamkan Datuk Dasuki adalah benar.
Beliau pantas menukar imej dengan berpakaian ala barat, lengkap dengan tali leher adalah benar. Di mana-mana ceramah beliau kembali dengan ketayapnya adalah benar. Ahli-ahli Pas menganggap mereka lebih alim dari orang lain adalah benar.
Pas membina sekolah untuk Taliban di Peshawar dan tidak membina sekolah, surau dan masjid untuk rakyat Malaysia adalah benar. Peniaga-peniaga pasar malam Pas menabur fitnah dengan menjual kaset, buku dan video adalah benar.
Pendedahan Wan Nothayati Omar mengenai penglibatan Pas di IPTA dan IPTS adalah benar. Penyokong Pas yang masih bekerja dengan kerajaan dan menerima gaji bulanan dan tidak dizalimi adalah benar. Penyokong BN dizalimi oleh kerajaan Pas dengan pelbagai tindakan adalah benar.
Anak-anak kecil dizalimi dengan tidak membenarkan mereka menggunakan balai raya untuk menuntut ilmu adalah benar. Beratus-ratus bendera Pas di tiang lampu di kawasan perumahan AU Datuk Keramat yang tidak diturunkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) adalah benar.
Ramai ahli Yang Berhormat Pas yang kini berkereta mewah dan mempunyai sampai dua telefon bimbit adalah benar. Pas seperti cacing kepanasan apabila melihat video klip di TV tentang pelampau agama adalah benar.
Pas menjaja isu syurga dan neraka dalam ceramah mereka adalah benar. Rakyat masih keliru dengan sembahyang dua imam adalah benar. Anak pemimpin Pas pergi ke Afghanistan adalah benar. Terdapat ahli Pas dalam KMM adalah benar.
Wanita hari ini telah boleh duduk sebaris dengan pemimpin Pas adalah benar. Ada pemimpin Pas yang bercakap takbur untuk memenjarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dalam sangkar kaca di Dataran Merdeka sambil bermain tahi adalah benar.
Pemimpin Pas membalas dendam terhadap penyokong BN dengan pelbagai tindakan dengan berselindung di sebalik alasan ``sudah takdir'' adalah benar. Pas menyalah gunakan agama untuk kepentingan politik adalah juga benar.
Oleh kerana semua itu benar, maka kita cuba pula lihat apakah sebenarnya sandiwara seperti yang selalu dilaung-laungkan oleh Pas tersebut.
Pas bersandiwara dalam isu Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ada kepentingan politik. Pas tahu, rakyat tahu, penyokong Pas tahu dan parti-parti politik tahu tentang sandiwara ini. Sebelum itu semua orang juga tahu bahawa terdapat pemimpin Pas yang membuat tuduhan di Parlimen dan dalam ceramah mereka mengenai salah laku Anwar.
Pas bersandiwara apabila gila sangat membela Lim Guan Eng. Mohamad Sabu bersandiwara apabila sanggup mengangkat bendera dan menyambut pembebasan Lim Guan Eng dari Penjara Kajang.
Pas bersandiwara dalam isu tuntutan Suqui walaupun mereka sedar tuntutan tersebut tidak masuk akal. Pas bersandiwara tentang hudud, sebenarnya mereka sendiri sedar hakikat masyarakat Malaysia.
Pas bersandiwara apabila mengatakan mereka tidak terlibat menghasut dan memperalatkan pelajar di IPTA dan IPTS supaya membenci kerajaan dan pemimpin UMNO.
Pas bersandiwara dalam isu perpaduan Melayu dengan memberikan pelbagai syarat kepada UMNO semata-mata kerana takut untuk berdepan dengan kebenaran.
Pas bersandiwara apabila menubuhkan Tabung Memali, sedangkan kutipan tersebut tidak sampai kepada mereka yang sepatutnya.
Hari ini Pas sedang hebat bersandiwara di Indera Kayangan membantu calon Keadilan. Rakyat masih ingat propaganda Pas menerusi ceramah dan kaset suatu ketika dahulu bahawa orang Islam dan ahli PAS tidak boleh memangkah calon bukan Islam. Antaranya kaset Yang Berhormat Datuk Ismail Kamus. Dengarlah semula. Eh, hari ini semuanya boleh pula. Betul-betul sandiwara. - ATEH, Seremban.